Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dalam kemalangan di Kampung Sayak, Kuala Ketil di Baling.
BALING: Seorang pemuda maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan tiga motosikal di Kampung Sayak, Kuala Ketil, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10.20 malam itu, mangsa, Muhamad Ridhwan Rosli, 21, yang berasal dari Kampung Charuk Beras, di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsuddin Mamat memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah bertentangan menghala ke Kuala Samak.
“Akibat kemalangan itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan dan bergesel dengan sebuah motosikal juga jenis Yamaha Y15zr yang datang dari arah belakang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15zr yang juga datang dari arah belakang telah melanggar mangsa yang berada di tengah jalan.
“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.