KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM20,000.
Penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dilakukan kira-kira pukul 4 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, lelaki berkenaan dikatakan telah menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak menyenaraikan nama seorang individu dalam senarai dikehendaki dan tidak mengeluarkan waran tangkap atas kesalahan berkaitan senjata api.
“Suspek yang bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Kuala Lumpur dipercayai menerima wang rasuah RM20,000 secara bulanan daripada individu terbabit,” katanya..
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, beliau berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan RM20,000 selepas pihak SPRM merekodkan keterangannya.