Kebakaran yang memusnahkan semua rumah dan sebuah kereta di Kota Belud. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Dua buah rumah dan sebuah kereta terbakar dalam dua kejadian berasingan di sini dan Lahad Datu hari ini.
Kejadian di sini berlaku di Kampung Wakap pada kira-kira jam 2 petang, melibatkan sebuah rumah dan sebuah kereta.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB MMuhammad Syazwan Latun berkata, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.10 petang dan sepasukan 12 anggota diketuai beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
“Setiba ditempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20’x30’ dan turut terlibat sebuah kereta Jenis Toyota Corolla (Wegon) terbakar 100 peratus.
“Pasukan Bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200’ dua pancutan sumber air dari parit berhampiran,” katanya.
Muhammad berkata, mujur tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.03 petang. Operasi ditamatkan 22 minit kemudian.
Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Lahad Datu. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di LAHAD DATU, sebuah rumah musnah dijilat api di Kampung Sepagaya, Jalan Silam, pada kira-kira jam 2 pagi.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid memberitahu, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.30 pagi dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PB Syed Mohd. Radzee dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian yang terletak 10 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20×15 kaki persegi yang terbakar 100 peratus semasa ketibaan jentera.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan 800 kaki sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan,” katanya.
Menurut Sumsoa, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.20 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.18 pagi.