Tangkap layar video tular di media sosial membabitkan insiden tayar (dalam bulatan) sebuah lori yang tercabut lalu menghentam sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 16, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di Jempol petang Isnin.
JEMPOL: Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kejadian tayar kenderaan berat yang dipandunya itu tercabut lalu bergolek dan menghentam sebuah kereta telah dikenakan saman oleh pihak polis.
Video kejadian kemalangan yang berlaku di Kilometer 16, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, petang Isnin itu turut tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pemandu lori berusia 60 tahun itu telah disaman sebanyak RM300 di bawah Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 94 LN 170/59).
Menurutnya, kedua-dua pemandu yang terbabit dalam kemalangan telah datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk membuat laporan dan telah diambil rakaman percakapan.
“Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.55 petang itu membabitkan sebuah lori jenis Volvo dan juga kereta jenis Honda dipandu seorang wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembantu kesihatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori dari arah Kuala Pilah menghala ke Simpang Pertang manakala pemandu kereta memandu berseorangan dari Simpang Pertang ke arah Kuala Pilah.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba tayar lori tercabut dan bergolek masuk ke laluan bertentangan menyebabkan pemandu kereta jenis Honda tidak sempat mengelak lalu terus melanggar tayar tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Ujar Chang Hook, dalam kemalangan tersebut, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.





























