Keadaan budak lelaki yang cedera melecur dalam kejadian itu.
SANDAKAN: Seorang budak lelaki berusia 14 tahun cedera melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki selepas berada di pencawang eletrik terbakar di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus Sainkui berkata, kejadian berlaku berhampiran Borneo Golf Hotel, Kampung Forest, pada kira-kira jam 1 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.06 petang dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hazmizan Maksit dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, didapati berlaku letupan (percikan api) pada pencawang elektrik yang mengakibatkan seorang budak melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Severinus berkata, operasi terkawal pada jam 1.31 petang dan ditamatkan pada jam 1.42 petang.































