PETALING JAYA: Gara-gara ingin melangsaikan hutang rakan dipercayai menjadi punca seorang lelaki ‘berkomplot’ dengan beberapa rakan untuk merogol adik iparnya dalam kejadian di Wangsa Maju, Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan polis abang ipar mangsa berusia 29 tahun itu berhutang dengan salah seorang suspek yang masih bebas.
Menurutnya, sebelum kejadian, lelaki itu menghubungi mangsa, 26, supaya tidak mengunci pintu rumah sehingga menyebabkan dia dirogol bergilir-gilir ketika sedang tidur.
“Abang ipar mangsa ditahan pada 9.30 malam Sabtu di hadapan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga 5, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju dan direman enam hari hingga 8 September.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan (Rogol berkumpulan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252 atau Hotline Polis 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Rabu lalu, media melaporkan wanita sedang tidur ‘diserang’ lima lelaki sebelum diperkosa bergilir dalam kejadian pada 3.30 pagi.
Mangsa turut diikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat suspek yang turut merakam kejadian itu.