Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah menikmati air kelapa di sebuah gerai di Kampung Silam, Lahad Datu semalam-Ihsan FB Istana Negara
KOTA KINABALU: Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendengar dan mencatat sendiri masalah diluahkan rakyat Sabah mencuri perhatian pada Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari ketiga hari ini.
Pada hari ketiga ini, Seri Paduka berada di Sabah, rakyat sudah mula meluahkan masalah air dan jalan raya yang teruk.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi rakaman video dalam laman media sosial, Raja Permaisuri Agong dilihat mencatat sendiri masalah diluahkan oleh rakyat apabila kenderaan dipandu Yang di-Pertuan Agong berhenti bagi bersalaman dan menyantuni rakyat yang menanti di bahu jalan semasa tiba di Sandakan semalam.
Baginda berdua sempat mengunjungi Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sandakan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi sebelum meneruskan perjalanan bagi menghadiri majlis santapan tengah hari di Institut Perhutanan Sabah di Telupid.
Kunjungan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dan rombongan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh sekumpulan kanak-kanak dari Taska dan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan penduduk setempat yang menanti kehadiran Baginda berdua sejak awal pagi tadi.
Selepas berkunjung ke Sepilok, rombongan Kembara Kenali Borneo yang disertai 25 kenderaan itu meneruskan perjalanan ke Telupid dan seterusnya ke Kundasang pada sebelah petang.
Esok, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan akan meneruskan perjalanan dari Kundasang ke Kota Kinabalu bagi menghadiri program yang telah dijadualkan termasuk merasmikan Mahkamah Syariah Kota Kinabalu dan santapan malam bersama kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Pada hari kedua kembara, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berhenti di beberapa kawasan termasuk untuk membeli buah-buahan di gerai tepi jalan semasa dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.
Baginda berdua turut berhenti kira-kira 20 minit bagi menikmati air kelapa di sebuah gerai di Kampung Silam, Lahad Datu. Malah, Seri Paduka turut mengurniakan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak yang teruja bertemu Baginda berdua.
Anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana turut bersama-sama meluangkan masa bersantap di gerai tersebut.
Pada Khamis, Seri Paduka akan menghadiri program santapan pagi bersama rakyat di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang sebelum meneruskan perjalanan ke Sipitang dan serterusnya ke Brunei Darussalam.
Program Kembara Kenali Borneo itu membabitkan perjalanan sepanjang 2,149 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam bermula 3 hingga 13 September.