Lima maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat- Kuantan.
SEGAMAT: Lima maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan dan remaja lelaki dalam kemalangan membabitkan lori, Honda HRV dan tiga kereta di Kilometer 5, Jalan Segamat- Kuantan pada pukul 6.30 petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan, iaitu lori pasir Scania, Perodua Alza, Honda HRV, Perodua Bezza dan Proton Wira itu menyebabkan lima mangsa maut di tempat kejadian.
“Kami menerima panggilan pukul 6.33 petang mengenai kejadian. Seorang pegawai dan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat dan BBP Bandar Baru, Segamat dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong besi bagi mengeluarkan lima mangsa yang tersepit,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Semua mangsa termasuk tiga yang cedera dihantar ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan.
Semua identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya sudah menyerahkan kes itu kepada polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.
“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan berlaku.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.