Pasukan bomba semasa melakukan operasi memadamkan kebakaran. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Dua buah rumah terbakar di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, kejadian berlaku di Taman Hiburan, Fasa 4, Lot N, di sini pada kira-kira jam 1 petang.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.47 petang dan sepasukan 13 anggota bersama sebuah jentera, tanker dan van EMRS diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Awang Jaya bergegas ke lokasi.
“Turut serta dalam operasi ialah sembilan anggota dari Balai Bantuan BBP Lintas beserta sebuah jentera dan van EMRS. Selain itu, agensi lain yang terlibat adalah anggota polis dan SESB.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis kekal – yang pertama berkeluasan 20×60 kaki persegi yang terbakar 100 peratus dan yang kedua berkeluasan 20×40 kaki persegi yang terbakar 30 peratus,” katanya.
Menurut Zeno, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200′ dua pancutan, dengan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan.
Katanya, tiada kecederaan mangsa dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.21 petang.
Setelah memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.27 petang, tambahnya.































