PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut dipercayai jatuh dari tingkat 12 di sebuah kondominium di Jalan Tiara, Titiwangsa, Wangsa Maju dekat sini, malam Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan talian MERS 999 berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 malam.
“Mangsa adalah seorang remaja perempuan warga asing berusia 14 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas jalan di blok B kondominium.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di lokasi pada pada 8.40 malam,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Tambahnya, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, namun tiada CCTV di bahagian dalam rumah mangsa.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa memanjat sebuah tong sampah berwarna hitam di balkoni sebelum terjatuh.
“Mangsa menetap di Malaysia bersama ibu dan kakaknya sejak lapan tahun lalu, manakala bapanya kini berada di Bangladesh,” katanya.
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/remaja-dipercayai-terjatuh-dari-tingkat-12/