Anggota bomba melakukan pemantauan di sekitar Pekan Kundasang dan Ranau berikutan gempa bumi hari ini.
RANAU: Orang ramai di daerah ini terutamanya yang berada berhampiran kawasan Kundasang digemparkan oleh satu kejadian gempa bumi berukuran 3.7 magnitud pagi tadi.
Menurut MetMalaysia, gempa bumi lemah pada jam 7.13 pagi itu berlaku di koordinat 6.1° Utara dan 116.6° Timur, dengan jarak 13km Barat Laut Ranau dan dengan kedalaman lima kilometer.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, setakat pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai kerosakan bangunan atau kemusnahan harta benda.
Bagaimanapun katanya, pihaknya juga telah melakukan pemantauan di sekitar pekan Kundasang dan Ranau dan setakat ini keadaan masih terkawal.
Ridwan menggesa orang ramai di sini supaya sentiasa mengingati langkah berjaga-jaga sekiranya gempa bumi lain berlaku pada masa hadapan dan mengutamakan keselamatan diri serta orang terdekat.
“Disarankan kepada penduduk Ranau khususnya di kawasan Kundasang supaya sentiasa berwaspada sekiranya berlaku gegaran, keluar dari kawasan struktur ke kawasan lapang, jangan panik dan laporkan kepada pihak bomba sekiranya berlaku kemusnahan harta benda dan juga yang melibatkan nyawa,” katanya.
Ridwan turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kepada BBP Ranau (088-878779) sekiranya berlaku gempa bumi yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan nyawa.
Insiden tersebut mengingatkan penduduk kepada peristiwa yang menggegarkan seluruh negara pada 5 Jun 2015 di mana gempa bumi berukuan 6.0 skala Richter melanda Ranau, menyebabkan kematian 18 individu.