SHAH ALAM: Pelakon Amanda, 20, mendedahkan sebelum ini terpaksa hidup dalam ketakutan gara-gara tindakan seorang lelaki tidak dikenali yang menghendap dan mengekorinya sejak lima tahun yang lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pemilik nama penuh Amanda Emil Khairul Amry, 20, itu tidak menyangka lelaki yang pada awalnya dianggap peminat biasa itu rupanya telah mengekorinya sejak tahun 2018 sehingga berani datang ke kediamannya sekitar lewat malam.
“Lelaki itu sering kongsikan lokasi dan masa dia berada di satu-satu tempat di media sosialnya. Apa yang mengejutkan, lokasi dan masa yang dikongsikan adalah sama dengan tempat dan masa dimana saya dan keluarga berada.
“Bayangkan kadang kami sekeluarga bercuti di Melaka dan Genting, dia turut mengekori saya hingga ke sana.
“Pernah satu hari dia datang solat di belakang bapa saya dan beritahu perasaannya kepada saya. Bapa saya layannya baik sehinggalah dia datang ke rumah kami jam 11 malam dan tak berhenti bunyikan loceng,” ceritanya.
Amanda ditemui Utusan Malaysia di kediamannya semasa pelancaran produk maskara By AmandaAmry.
Pernah suatu ketika, semasa Amanda meluangkan masa bersama ibunya di sebuah pusat beli belah, lelaki tersebut mengirim sebuah mesej di Twitter berupa sekeping gambar lantai menunjukkan mereka berada di dalam pusat beli belah yang sama.
“Kerana takut, saya pernah tidak keluar rumah selama sebulan. Saya tidak muat naik gambar on-the-spot. Sehingga kini, saya hanya akan balas mesej di media sosial daripada perempuan sahaja.
“Saya ada buat laporan. Tapi pihak polis kata selagi tak melibatkan fizikal, maka kami tak boleh buat apa-apa.
“Sekarang dia sudah berhenti mengganggu saya sejak awal tahun ini. Saya dimaklumkan dia telah disahkan menghidap bipolar dan kini dirawat di hospital,” katanya.
Amanda tahu, dia tidak boleh membiarkan ketakutan menguasai dirinya. Kini gadis itu baru sahaja melancarkan produk maskaranya yang pertama selepas setahun membuat kajian dan penyelidikan.
Maskara By AmandaAmry dijual dengan harga RM49 kini boleh didapati menerusi Instagram dan TikTok ByAmandaAmri.