Fahmi Fadzi
PUTRAJAYA: Bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan penggiat industri filem tempatan, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan penubuhan Tabung Komuniti Filem.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tabung berkenaan adalah manifestasi komitmen kerajaan melalui FINAS untuk memberi bantuan kepada para penggiat dalam industri kreatif terutamanya dalam bidang perfileman.
Jelas beliau, ia berperanan untuk menyelaras agihan bantuan, sumbangan, kutipan derma yang diterima melalui kerjasama daripada badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan individu.
“Antara objektif utama tabung ini adalah menyelaras penerimaan, mengagihkan sumbangan dan kutipan derma bagi menguruskan aktiviti sebelum, semasa dan selepas kejadian, bencana dan kemalangan yang melibatkan penggiat industri kreatif tempatan.
“Selain itu, ia bertujuan untuk mengendalikan program komuniti filem, ziarah anak seni dan kempen kesedaran memajukan industri perfileman Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) dan Pelancaran Tabung Komuniti Filem di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut, Fahmi menyampaikan DKD bagi kategori dana filem cereka, dana First Time Amature Filmmaker (FAME), dana persembahan muzik serta dana promosi dan pemasaran antarabangsa kepada 39 penerima.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sebagai usaha berterusan merangsang perkembangan industri kreatif negara, sejumlah RM36 juta disalurkan kepada FINAS, Kumpulan MyCreative Ventures dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi pelaksanaan DKD antaranya bagi kategori filem cereka, program TV, dokumentari, persembahan muzik, kebolehpasaran domestik, insentif pembangunan aset digital (NFT) dan promosi dan pemasaran antarabangsa.
“Permohonan DKD secara berperingkat akan dibuka mulai September 2023. Saya menjemput semua penggiat industri untuk melayari portal rasmi FINAS, MyCV dan MDEC serta KKD untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Kepada semua penerima DKD, saya amat mengharapkan komitmen serta fokus yang tinggi supaya projek dapat dilaksanakan mengikut kos, tempoh dan skop ditetapkan,” ujarnya.
Beberapa kejayaan menerusi inisiatif DKD termasuklah filem Imaginur dengan kutipan RM6 juta dan filem Mat Kilau (kutipan RM90 juta) selain penghasilan kandungan animasi terkenal seperti Mechamato, Didi and Friends, Ejen Ali dan Upin Ipin.