PETALING JAYA: Seorang anak bertindak kejam apabila membunuh bapanya sebelum meninggalkannya di tepi jalan di hadapan sebuah kondominum di PJS 10/24, Sungai Way di sini, Jumaat lalu.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 10 malam itu apabila mangsa berusia 74 tahun dipukul anak lelakinya berusia dalam lingkungan 40-an
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek mengakui memukul mangsa dengan penyodok serta membalutnya dengan langsir sebelum meninggalkannya di tempat bapanya ditemukan, kira-kira 1.5 kilometer dari kediaman mereka.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah serta kesan lebam di bahagian dada.
“Pemeriksaan di lokasi rumah mangsa mendapati terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding bilik tidur, di pintu bilik tidur dan kesan seretan di bahagian ruang tamu,” katanya di sini kelmarin.
Tambahnya, pemeriksaan di kenderaan Perodua Kelisa turut menemukan kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” kata sumber.
Difahamkan, suspek mempunyai dua rekod lampau kes jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan kes tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.