Anthony Loke menunjukkan bidaan nombor pendaftaran sempena Hari Kebangsaan di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan prefiks M di hadapan dan sufiks M di belakang iaitu siri M_M.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, NPI siri M_M berkenaan ditawarkan secara bidaan dalam talian melalui Sistem JPJeBid kepada orang awam.
“NPI siri M_M ini dipilih kerana membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka atau boleh disebut sebagai Malaysia Madani bersempena dengan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Selain itu, ia akan menjadi kenangan dan menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023.
“Bidaan akan mula dibuka untuk orang awam bermula Khamis ini dan tarikh tutup bidaan pada 4 September manakala keputusannya boleh disemak pada 5 September dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.
Jelasnya, harga bidaan adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan iaitu RM20,000 bagi nombor bernilai utama (golden) diikuti RM3,000 bagi nombor menarik (attractive), RM800 untuk nombor popular dan RM300 bagi harga bidaan nombor biasa (running).
Menurut Anthony Loke, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“Orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan NPI sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang ke-66 sebagai medium dan saluran untuk mendapatkan pilihan nombor pendaftaran kenderaan siri M_M,” katanya.