Keadaan dua daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd. Hasbi Hajat berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Popok, di sini, pada jam 9 malam.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lika anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Marselius Junus dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh lima kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan jenis Proton Iswara, Proton Persona Elegance 1.6 dan Toyota Hilux.
“Terdapat tiga orang mangsa di kenderaan Proton Iswara (seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki) mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kota Marudu oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa di kenderaan lain tidak mengalami kecederaan,” katanya, sambil menambah maklumat mangsa tidak diperolehi.
Menurut Hasbi, pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.54 malam.