PETALING JAYA: Gara-gara cinta ditolak, seorang lelaki bertindak menembak sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan senjata api dipercayai untuk membalas dendam di Sarikei, Sarawak.
Polis menerima laporan kira-kira 10.45 malam berhubung pemandu kenderaan berkenaan ditembak pada 23 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Andam Sulin berkata, ketika kejadian, pemandu kenderaan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Pinang, Jalan Wak Buku Pakan, Julau di Sarikei.
Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian kerana perasaan dendam terhadap keluarga mangsa selepas cintanya ditolak oleh salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan.
“Susulan itu, anggota polis menahan suspek berusia 20 tahun pada 5.30 petang, Khamis lalu.
“Polis turut merampas dua laras senapang patah Bekakok buatan sendiri, dua laras senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru jenama Clever 12 Mirage dan satu kelongsong peluru jenama 12 Mirage daripada suspek,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.