Arthur bergambar kenangan bersama para pengamal media Sabah.
KOTA KINABALU: Satu Pasukan Khas Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan dibentuk bagi menangani penurunan penglibatan pelajar dalam bidang STEM khususnya di Sabah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM di negeri ini kurang 27 peratus daripada sasaran sebenar.
“Buat permulaan, kita telah mengadakan mesyuarat pertama yang mana MOSTI bertanggungjawab pada pengisian program dan juga pembudayaan sains manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula lebih kepada memasukkan pembudayaan sains dalam kokurikulum.
“Kementerian melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) telah melaksanakan kajian mengenal pasti punca kurangnya minat pelajar kepada sains khususnya di Sabah dan antara dapatannya ialah kurang galakan selain tidak memahami subjek yang dianggap susah serta kurang pendedahan terhadap potensi kerjaya bidang STEM,” katanya ketika ditemui media pada Program Sembang Santai Timbalan Menteri MOSTI bersama Media Sabah, pada Selasa.
MOSTI kini melaksanakan pelbagai program bagi memupuk minat golongan pelajar terhadap STEM antaranya Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Sabah 2023, Malaysia Tech Lympics dan Kembara Sains Borneo.
Pada majlis tersebut, Arthur memaklumkan MOSTI juga sedang mengenal pasti kawasan-kawasan black spot liputan internet dan akan membawa satu pilot projek wireless bridging system ke Sabah dalam masa terdekat.
“Sekiranya projek tersebut menunjukkan hasil yang menggalakkan, kita akan usahakan lebih banyak kawasan black spot internet ini menggunakan teknologi wireless bridging system dalam tahun akan datang untuk kita cover black spot yang terlindung daripada liputan menara telekomunikasi .
“Setakat ini satu kajian sedang dibuat di kawasan Tiulon Pensiangan yang mana kawasan ini mempunyai klinik dan sekolah dan merupakan satu kawasan black spot liputan internet menara telekomunikasi.
“Sekiranya ketercapaian internet menunjukkan perkembangan yang baik maka wireless bridging system ini akan dilaksanakan di kawasan tersebut pada tahun ini,” jelas Arthur.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Ruziah Safie, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntan Vanar dan Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli.