Amisah menerima borang permohonan keahlian Gagasan Rakyat.
RANAU: Para ahli jawatankuasa penaja bahagian yang dibentuk harus bekerja keras bagi memastikan lebih banyak cawangan dengan ahli yang ramai dapat ditubuhkan, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan, Datuk Amisah Yassin.
Katanya, kekuatan parti dengan ahli yang ramai adalah satu penanda aras bahawa parti itu memenuhi sentimen dan aspirasi rakyat yang kini mahu Sabah ini dipimpin oleh parti tempatan dengan kombinasi pimpinan Negeri yang disenangi ramai.
Amisah yang juga ADUN dilantik turut menegaskan bahawa tindakan sesetengah individu melabelkan ahli-ahli daripada parti lain seperti UMNO dan Parti Warisan yang menyertai Gagasan Rakyat adalah disebabkan mereka percaya bahawa hijrah yang mereka lakukan itu adalah demi sesuatu yang lebih baik.
“Parti-parti yang kita sertai dahulu adalah baik, dan kita berterima kasih atas kesudian pimpinan terdahulu untuk memberi tempat kita bernaung satu masa dahulu. Namun, peredaran masa dan keperluan di Sabah kini memerlukan pimpinan daripada parti politik tempatan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Penubuhan Gagasan Rakyat Cawangan Libang, di sini.
Kata beliau lagi, politik di Sabah bersifat memerlukan pembangunan dan rakyat sudah bosan dengan corak politik yang ekstrim dengan durasi berpolitik setiap masa.
“Sabah memerlukan sistem politik yang stabil demi memastikan agenda yang dirancang oleh Kerajaan dapat dilaksanakan tanpa kerisauan risiko kerajaan yang berubah setiap masa,” katanya, sambil menambah dengan kuatnya Gagasan Rakyat di DUN Paginatan, maka kuatlah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di mana ADUN Paginatan adalah daripada parti komponen STAR.
“Kita berikrar untuk membantu dan menguatkan rakan-rakan kita dalam parti GRS yang terdiri daripada tujuh parti komponen dan mengukuhkan parti Gagasan Rakyat adalah sebagai satu caranya,” tambahnya.
Amisah turut menerima penyerahan borang daripada seramai 25 ahli baharu yang diserahkan oleh Jahili Saridi.
Turut hadir Bendahari Bahagian, Mahali Yusin, Ketua Penerangan Bahagian, Jamian Manan, Ketua Pemuda Bahagian, Al Ayubi Datuk Haji Jirin, Ketua Beliawanis, Iszyan Qitrinada Jamian dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian Paginatan.