Fadhlina Sidek melihat murid-murid sekolah menyediakan medium semaian pokok bakau sempena Program Mangrove-ing Our Land di Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi.
LANGKAWI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan langkah sederhana dan langkah jangka panjang dari masa ke semasa dalam usaha untuk mengurangkan beban tugas guru di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut menjadi komitmen KPM sepanjang masa bagi mencapai hasrat melihat tugas-tugas guru yang sepatutnya terutama fokus terhadap pembelajaran murid dan pelajar.
“Saya nak tegaskan, soal beban tugas guru ini adalah komitmen kita secara berterusan, jadi maknanya sekarang kita dah umumkan tujuh langkah segera bagi mengurangkan beban tugas guru, nanti akan ada langkah sederhana dan jangka panjang (diumumkan).
“Kita akan lihat dari masa ke semasa, tapi dalam payung keseluruhan di bawah kesejahteraan guru, banyak lagi langkah-langkah yang akan kita ambil selepas ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan ProgramMangrove-ing Our Land di Langkawi UNESCO Global Geopark Discovery Center, Kilim Karst Geoforest Park, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini tentang sudah tiba masa skop kerja guru diwartakan secara hitam putih mengikut gred supaya selepas ini mereka tidak lagi dibebankan dengan bebanan tugas yang di luar skop mengajar.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pewartaan itu satu jalan penyelesaian terhadap bebanan guru yang membelenggu mereka disebabkan kurangnya kefahaman terhadap skop kerja sebenar tenaga pengajar.
Beliau menggariskan tiga peranan guru yang bukan tanggungjawab mereka seperti dilantik sebagai urusetia menyambut orang kenamaan (VIP) yang akan melawat sekolah.
Sementara itu, kata Fadhlina, isu beban tugas guru akan sentiasa menjadi keutamaan KPM dan bukan komitmen yang terhenti setakat mana telah dicapai ketika ini sahaja.
“Sebelum ini, KPM mengumumkan tujuh langkah segera bagi mengurangkan beban tugas guru antaranya memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid,” katanya.
Jelas beliau, tujuh langkah awal itu telah pun diikuti dengan garis panduan selanjutnya yang lebih spesifik bagi menangani isu terbabit.