KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta di sebahagian Jalan Dua Puluh 4, Bandaran Berjaya untuk memberi laluan kepada pelaksanaan Pasar Malam Bandaran (Bandaran Night Market) yang akan beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis, dari jam 6 petang hingga 11 malam bermula esok (21 Ogos).
Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, jalan dan tempat letak kereta berkenaan akan ditutup setiap hari Isnin hingga Khamis, dari jam 5 petang hingga 11 malam bermula esok (21 Ogos).
“DBKK menjemput orang ramai untuk berkunjung ke Pasar Malam Bandaran (Bandaran Night Market) dan dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai dan para pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas, sentiasa berhati-hati serta menggunakan jalan alternatif lain sepanjang tempoh penutupan sementara laluan jalan ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
“Segala kesulitan amatlah dikesali. Sekian, harap maklum,” katanya dalam satu kenyataan.