Andi (enam dari kanan) bersama peserta konvoi bergambar kenangan
KALABAKAN: Agensi swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diseru bersama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandi berkata tanggungjawab untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan bukan hanya terletak pada agensi kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi juga agensi swasta serta GLC harus memainkan peranan masing-masing.
“Satu perkara positif yang ingin diterapkan, dengan mengibarkan Jalur Gemilang kita akan sentiasa peka dan maklum berkenaan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya semasa merasmikan Program Mobile Community Services Dan Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Daerah Kalabakan.
Lebih 1,000 pengunjung hadir ke program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) di Dewan Terbuka dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir dalam program yang menghimpunkan 40 agensi tersebut ialah Pegawai Daerah Kalabakan Mohamad Mohd Ali dan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Rafidah Datu Derin.
Selain acara tersebut, Konvoi KMJG turut singgah dan bertafakur di Tugu Peringatan Kalabakan yang dibina pada tahun 1969 bagi memperingati lapan wira negara yang terkorban mempertahankan kedaulatan negara semasa konfrontasi Indonesia pada 29 Disember 1963.