Jalur Gemilang gergasi di Pejabat Daerah Lahad Datu.
LAHAD DATU: Jalur Gemilang berukuran 1,800 kaki persegi berkibar megah di bangunan Pejabat Daerah.
Pegawai Daerah, Datu Firuz Idzualdeen @Benetty Mohd Dzul berkata, bendera gergasi (30 x60 kaki) tersebut mengambil masa hampir dua minggu untuk disiapkan oleh warga Pusat Giat Mara Lahad Datu.
“Idea mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz besar ini adalah sebahagian usaha jawatankuasa sempena kehadiran konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 di daerah ini.
“Kami memohon kepada masyarakat di Lahad Datu sama ada di kampung atau di bandar untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan sepanjang jalan utama daerah ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan KMJG Negeri Sabah 2023 Peringkat Daerah Lahad Datu.
Dalam majlis tersebut Firuz turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan agensi kerajaan sebelum menyempurnakan acara pelepasan konvoi KMJG bersama lebih 20 kenderaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lahad Datu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan dan Pusat Ekonomi Digital (PeDI) Sepagaya.