Junik menyampaikan sijil anugerah kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Syaiful Rizal.
TENOM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 63 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di lapan buah sekolah menengah di sekitar daerah ini bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan murid-murid di sana.
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2022 yang diadakan di Hotel Perkasa Tenom hari ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit.
Turut hadir ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Junik berkata, pihaknya amat mengambil berat dan terpanggil untuk membantu mereka yang berpontensi dalam agenda meningkatkan tahap pendidikan dikalangan pelajar-pelajar khususnya yang bagi mereka yang berada di luar bandar.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pelajar untuk memulakan pengajian di peringkat tertier serta sebagai pembakar semangat bagi meneruskan kejayaan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga ke peringkat seterusnya,” katanya.
Jelas beliau, usaha ini juga menjadi salah satu inisiatif dalam memastikan masyarakat sentiasa mendapat pendidikan yang terbaik serta membantu melahirkan masyarakat yang lebih berilmu terutamanya di Sabah.
Di dalam majlis yang sama, seramai empat pelajar yang masih meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Sabah turut menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR sebagai bantuan untuk memulakan pengajian atau sebagai kegunaan menguruskan kelengkapan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.
Sejak Januari tahun ini sehingga kini, YBR sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM237,000 menerusi BAP bagi membantu pelajar dari keluarga B40 untuk menyambung pelajaran di insti¬tusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di insti¬tusi pengajian tinggi swasta (IPTS).