Lukanisman Awang Sauni
CHERAS: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu laporan akhir daripada agensi yang terbabit dalam siasatan nahas jet penumpang di Elmina yang mengakibatkan 10 individu terkorban.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM akan mengumumkan laporan akhir sebaik ia diterima.
“Kita masih lagi sedang menunggu laporan dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedang dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Segala laporan ini akan diumumkan selepas laporan akhir disediakan.
“Mungkin Dr. Zaliha akan maklumkan perkembangan terkini di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Sedekad Bersama Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik Hospital Rehabilitasi Cheras di Auditorium Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr Tan Cheong How.
Dalam nahas jam 2.48 petang semalam, pesawat jenis Beechcraft Premier yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Terminal Skypark Subang sudah mendapat pelepasan untuk mendarat.
Bagaimanapun, dua minit sebelum mendarat, pesawat berkenaan terhempas di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, berhubung perkembangan terkini di HTAR, jelas Lukanisman, KKM akan menjalankan prosedur forensik membabitkan kesemua mangsa.
“Di peringkat KKM kita akan jalankan forensik dan untuk membantu keluarga mangsa, kita sediakan perkhidmatan psikososial untuk menenangkan ahli keluarga,” katanya.
Katanya lagi, kementerian juga akan memberikan bantuan yang diperlukan termasuk dalam kalangan waris mangsa dan menyelaras semua operasi yang sedang berjalan ketika ini.
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/kkm-tunggu-laporan-akhir-nahas-elmina/