PETALING JAYA: Seramai 41,289 warganegara berusia 18 tahun dalam tempoh 1 hingga 31 Mei sudah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dan diwartakan hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, turut diwartakan adalah 12,183 pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,005 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
Beliau berkata, SPR kini membuka Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2023 untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini sehingga 14 September depan.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2023 hingga 31 Mei 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdapat lima kaedah semakan disediakan SPR iaitu melalui portal di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
Selain itu, Ikmalrudin berkata, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang melakukan pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan.