KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas berputih mata selepas wang hasil jualan kedai runcitnya yang mencecah RM70,000 lepas dilarikan peragut dalam kejadian Jalan Kebun Sultan di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi, mangsa berusia 60 tahun yang menunggang motosikal ketika itu telah meletakan wang tersebut di dalam bakul.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan ke sebuah bank untuk mendepositkan wang tersebut.
Menurutnya, setiba di depan sebuah premis di Jalan Kebun Sultan, sebuah motosikal menghampiri warga emas berkenaan sebelum meragut sebungkus beg plastik hitam yang mengandungi wang tunai itu dan dua buah telefon bimbit yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.
“Berdasarkan keterangan mangsa yang merupakan pemilik perniagaan runcit di Cabang Empat Cherang di sini, suspek disyaki merupakan seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan betutur dalam dialek Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Mohd. Rosdi memberitahu, suspek yang memakai jaket, berseluar dan bertopi keledar warna gelap dikatakan menunggang sebuah motosikal berwarna hijau atau hitam.
Katanya, mangsa bagaimanapun tidak dapat mengecam nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang ditunggang suspek.
“Sehubungan itu, polis sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak,” ujarnya.