Ariffin (tengah) menghargai usaha pihak swasta menyokong agenda pendigitalan negara.
KOTA KINABALU: Pembukaan Hab Internet Serantau Maxis dijangka membawa peningkatan ketara kelajuan dan kependaman internet penggunanya di Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, pencapaian tersebut turut menyumbang kepada pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025, di bawah tonggak rangkaian infrastruktur dan kemampanan.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) memahami infrastruktur komunikasi kukuh adalah asas ekonomi digital yang cemerlang serta pemacu utama mendepani transformasi.
“Salah satu daripada empat misi utama KSTI ialah memperkasakan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi digital.
“Ini meliputi penambahbaikan dan penaiktarafan infrastruktur telekomunikasi termasuklah liputan mudah alih dan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi meluaskan akses internet ke serata negeri.
“Dengan peningkatan saling hubungan internet, pasti melipatgandakan pengalaman digital rakyat, memudahkan akses komunikasi, kandungan pendidikan seterusnya menggalakkan inovasi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hab Internet Sabah di sini, pada Selasa.
Ariffin menambah melalui saling hubungan yang lebih cekap dan pantas, pembangunan digital dapat dipercepatkan seterusnya menggalakkan lebih banyak inovasi serta penggunaan teknologi termaju untuk manfaat keusahawanan, pendidikan dan sebagainya.
“Bersama-sama, kita boleh menempa kecemerlangan, memastikan setiap rakyat Sabah mendapat manfaat daripada kemajuan era digital,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar pihak Maxis akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyokong pembangunan Sabah, agar setiap rakyat dapat menikmati kemudahan digital kini dan masa depan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng dan Pengarah Kawalselia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Negeri Sabah, Suhaila Jaffar.