Keadaan kedua-dua kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Empat orang cedera apabila kereta dinaiki mereka bertembung di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe berkata, kejadian itu berlaku di Taman Nelly, Kolombong, pada jam 1 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Yohanes Sipin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh tiga kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Proton Iswara.
“Terdapat empat orang mangsa terlibat, seorang mangsa wanita di Perodua Bezza telah mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya dihantar ke hospital Queen Elizabeth I.
“Sementara tiga lagi mangsa (dua wanita dan seorang lelaki) di Proton Iswara telah mengalami cedera ringan dan telah diberi rawatan awal oleh ambulans. Kesemua mangsa juga telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 1.44 petang.