Kapal persiaran itu akan terletak di teluk Vairao berhadapan dengan ombak terkenal Tahiti yang digelar “Chopes”
PARIS: Sukan Olimpik Paris 2024 bakal mencipta keunikan tersendiri apabila bukan sahaja akan mewujudkan perkampungan sukan seperti kelazimannya, malah turut menyediakan kapal persiaran sebagai hotel penginapan.
Menurut Utusan Malaysia, kapal yang dinamakan Aranui itu bakal menjadi tempat penginapan buat atlet luncur air yang beraksi pada temasya itu tahun depan.
Acara luncur air akan dipertandingkan di beberapa kawasan jajahan Perancis antaranya Tahiti dan French Polynesia di Teahupo’o.
“Kapal kargo campuran ini, yang digunakan sebagai kapal persiaran dan penghantaran kargo ke Kepulauan Marquesas akan berlabuh di Teluk Vairao, sebuah kampung di luar ibu negara Tahiti, wilayah seberang laut Perancis.
“Kapal ini akan berfungsi sebagai penginapan delegasi Sukan Olimpik, dan sebahagian mereka telah memilih serta menempah bilik berhadapan dengan ombak,” kata Menteri Belia dan Sukan Tahiti, Nahema Temarii.
Pada mulanya, penganjur berhasrat memilih sebuah hotel yang telah ditutup selama 26 tahun sebagai tempat penginapan para atlet dan pegawai, namun kerja-kerja baik pulih memakan masa terlalu lama.
Kapal persiaran Aranui mampu memuatkan 254 penumpang dan menyediakan 103 kabin untuk 48 peserta yang akan mengambil bahagian.
Dalam masa sama, menara pengadil di Chopes juga akan dinaik taraf, namun bakal menelan kos yang mahal.
“Sebuah struktur aluminium akan dibina bagi menggantikan menara kayu yang digunakan untuk Kejohanan Liga Luncur Air Dunia.
“Ia akan dipasang menghadap ombak dengan jangkaan kos sekitar 3.9 juta pound (RM 22.7 juta),” lapor portal InsideTheGames.
Acara luncur air di Sukan Olimpik Paris dijadualkan berlangsung pada 27 sehingga 30 Julai 2024.