Manchester City sudah bersedia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Super apabila bertandang ke Burnley esok. – Ihsan Manchester City
LONDON: Manchester City akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di Burnley awal pagi esok dengan misi untuk muncul pasukan pertama memenangi empat kejuaraan liga berturut-turut.
Arsenal yang sekali lagi dijangka menjadi pesaing utama akan memulakan saingan dengan menerima kunjungan Nottingham Forest esok.
Dua gergasi EPL, Liverpool dan Chelsea pula berdepan ujian awal pada hari pertama dengan bertembung sesama sendiri di Stamford Bridge pada Ahad.
City merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama, Jun lalu, sekali gus melengkapkan musim gemilang selepas menjulang EPL dan Piala FA.
Menurut Utusan Malaysia, musim ini, pengurus mereka, Pep Guardiola berdepan cabaran beraksi tanpa kapten Ilkay Gundogan yang meninggalkan kelab untuk ke Barcelona, manakala Riyad Mahrez menerima tawaran lumayan Arab Saudi.
Duo Croatia, Mateo Kovacic dan Josko Gvardiol pula menjadi muka baharu.
City akan berdepan lawan yang dibimbing legenda mereka, Vincent Kompany yang telah merubah nasib Burnley musim lalu dengan mengekalkan kelab itu dalam EPL ketika saingan berbaki tujuh perlawanan.
Kompany mengubah Burnley menjadi pasukan yang lebih banyak menguasai bola, mengeluarkan mereka dari krisis.
“Saya suka bermain setiap minggu, bulan, tahun menentang pasukan setaraf City. Itulah cara terbaik,” kata Kompany.
Pertembungan City-Burnley dilihat istimewa, terutama buat City kerana Kompany dilihat sebagai calon untuk menggantikan Guardiola.
Guardiola dijangka menggunakan formasi 3-2-2-3 di Turf Moor, di mana Erling Haaland, Jack Grealish dan Phil Foden mengetuai jentera penggempur untuk memburu kemenangan sulung.