PETALING JAYA: Lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) melancarkan Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam hujung bulan ini dalam usaha menyokong harga jalur lebar berpatutan dan merapatkan jurang digital.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu kenyataan, lima syarikat terbabit iaitu CelcomDigi Bhd (CelcomDigi), Maxis Bhd (Maxis), Telekom Malaysia Bhd (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan YTL Communications Sdn Bhd (Yes), turut menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pasca Bayar Rahmah Penjawat Awam bersempena Bulan Kebangsaan.
“Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pasca Bayar Rahmah Penjawat Awam akan dilancarkan pada 31 Ogos ini. Sehubungan itu, para pelanggan dinasihatkan melihat pakej yang disediakan di laman sesawang pihak pengendali perkhidmatan,” kata kenyataan itu kelmarin.
Pada hari sebelumnya, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan penjawat awam akan menikmati rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej pascabayar masing-masing menerusi Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam berkuat kuasa 31 Ogos ini.
Bersempena dengan Bulan Kebangsaan, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, syarikat telco serta dua syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia juga menawarkan Pakej 5G Rahmah bermula 31 Ogos ini.