PETALING JAYA: Akibat enggan memutuskan hubungan, seorang wanita cedera parah dipercayai ditikam teman lelakinya di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang, di sini, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 2.52 pagi itu, mangsa yang cedera di bahagian tengah dan kiri perut serta luka lengan kiri dibawa ke Hospital Ampang dengan ambulans untuk rawatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan mendapati mangsa berada dalam kenderaannya sebelum didatangi suspek.
Katanya, suspek dalam keadaan berang bertindak memancitkan tayar kereta mangsa serta bertindak agresif memecahkan cermin hadapan kereta berkenaan.
“Mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi suspek terus mengejar dan menikamnya dengan senjata tajam.
“Siasatan mendapati punca suspek menyerang wanita berkenaan adalah kerana tidak berpuas hati apabila mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, siasatan turut mendapati mangsa dan suspek berkenalan selama tiga bulan melalui aplikasi OMI (aplikasi jaringan sosial mencari kenalan dan pasangan).
“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan sedang mengesan untuk menahannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata,” katanya.