Hajiji (dua dari kiri) membuat pelepasan konvoi Kembara Merdeka di Tuaran hari ini.
TUARAN: Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang adalah masa terbaik untuk menghayati patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Berucap pada program Merdeka Jalur Gemilang di Astaka Padang Tuaran di sini hari ini, beliau berkata, tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” adalah tepat memandangkan perpaduan kaum dan tolak ansur menjadi tonggak dalam mengekalkan kemerdekaan negara.
Hajiji berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik mesti terus dipupuk dan dilindungi kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang progresif dan kestabilan politik.
“Saya menyeru rakyat untuk bersatu dan bekerjasama untuk melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara kita. Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan terus dikecapi dan tidak diganggu gugat oleh anasir negatif,” katanya.
Begitu juga, beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan padu daripada semua.
“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat adalah kritikal dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.
Selaras dengan Bulan Kebangsaan, Ketua Menteri turut menggesa rakyat mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan menggantikan bendera yang rosak dengan yang baharu.
“Marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat agar mereka memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang dan identiti bangsa ini,” katanya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, Pengerusi SESB dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee, Pengarah Penerangan Negeri, Jainisah Mohd Noor dan masyarakat pemimpin.
Ketua Menteri kemudiannya melancarkan konvoi 17 kenderaan daripada lapan agensi awam dan swasta yang melibatkan 66 peserta. Tuaran diwakili 100 peserta membabitkan 25 kenderaan yang bergerak ke Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke Kudat.
Konvoi Kembara anjuran Jabatan Penerangan Negeri itu akan menjelajah sejauh 2,300km di seluruh Sabah sehingga 31 Ogos ini.