Keadaan lokasi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan individu yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu yang kemudian ditemukan di Jalan Juasseh-Bahau, Kuala Pilah malam Rabu.
KUALA PILAH: Mayat seorang tukang pasang kabel yang dilaporkan hilang sejak bulan Jun lalu ditemukan di bahu jalan yang bercerun di Kilometer 7, Jalan Juasseh-Bahau, di sini, Rabu.
Mayat Muhammad Aiman Danial Mohd Faizal, 19, ditemukan oleh orang awam yang kebetulan mahu mencari pucuk cemperai di lokasi kejadian dan ternampak sebuah kenderaan di situ.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, berkata, kira-kira pukul 7.25 malam Rabu, pihaknya telah menerima panggilan telefon dari orang awam yang menyatakan terdapat satu kemalangan jalan raya di Jalan Terusan melibatkan sebuah kereta.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil bersama pemandunya di bahu jalan bercerun. Turut dijumpai di tempat kejadian adalah kad pengenalan dan lesen memandu mangsa.
“Hasil semakan kad pengenalan, mangsa dilaporkan hilang pada 6 Jun di mana ibu mangsa telah membuat satu laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna kelabu berseorangan dan gagal dihubungi sehingga dijumpai semalam (Rabu),” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Ujar Amran lagi, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah di sini bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, orang awam yang ditemui di lokasi kejadian, Azman Hassan, 44, berkata, dia hanya mengetahui perkara tersebut melalui kumpulan WhatsApp dan segera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi tersebut merupakan kawasan kebun keluarganya dan kali terakhir dia ke lokasi tersebut untuk membersihkan kebun adalah pada petang 22 Jun lalu.
“Pada waktu itu saya tidak menemukan apa-apa, mungkin juga kerana saya tidak berada berdekatan dengan lokasi penemuan itu. Jadi bila ada maklumat kata jumpa kereta di sini, saya terus ke sini selepas waktu Maghrib.
“Ketika tu polis sudah pun meletakkan garisan kuning dan ibu kepada individu hilang juga telah melihat kereta ini dan mengesahkan ia merupakan kereta yang dibawa semasa anaknya keluar,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial pada bulan Jun lalu, seorang ibu telah membuat laporan polis menyatakan anaknya telah keluar rumah pada 6 Jun untuk ke Senawang menaiki kereta jenis Perodua Kancil berseorangan dan kemudian gagal dihubungi.