Yiew (keenam dari kiri) bersama Noorliza semasa kunjungan hormat itu.
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bahagian Api-Api Parti Bersatu Sabah (PBS), Yee Tsai Yiew memuji usaha yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menyelesaikan isu tempat letak kereta di sini.
Beliau berkata, DBKK kini sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan aplikasi tempat letak kereta digital, serta mencadangkan pindaan kepada undang-undang kecilnya.
Bercakap selepas membuat kunjungan hormat kepada Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip baru-baru ini, Yiew berkata, mereka telah membincangkan pelbagai isu termasuk kemungkinan mengeluarkan pas bulanan baharu bagi petak letak kereta berwarna kuning.
“Buat masa ini, hanya kawasan tempat letak kereta hijau di Kota Kinabalu yang mempunyai pas bulanan. Justeru, DBKK sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan pas bulanan bagi tempat letak kenderaan berwarna kuning untuk kemudahan orang ramai khususnya pekerja pejabat,” katanya.
Yiew berharap apabila aplikasi tempat letak kereta digital berjaya diwujudkan, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan pelbagai isu tempat letak kereta malah dapat memberi banyak kemudahan kepada orang ramai.
Selain isu tempat letak kereta, beliau turut mengetengahkan isu keselamatan jalan raya, khususnya pusingan ‘U’ yang berbahaya di sepanjang Jalan Teluk Likas menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Datuk Bandar menyatakan hasratnya untuk membangkitkan perkara ini dengan Jabatan Kerja Raya Negeri,”kata Yiew.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar kerana mendengar aduan orang ramai dan segera menangani isu-isu tersebut, menunjukkan sikap DBKK yang tinggi terhadap kesejahteraan rakyat.
Bersama Yiew ialah Ketua Masyarakat Cina Kawasan Api-Api, Kapitan Lim Vun Chan, Kapitan Fung Chun Fatt dan Kapitan Chee Siaw Siaw, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Api-Api, Oliver Majaham dan Bendahari Bahagian PBS N.20 Api-Api, Lai Chuen How.