SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun lemas, manakala lima yang lain berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka terbalik di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus @ Mohd. Nidzam Sainkui memberitahu, kejadian berlaku di perairan Pulau Tanjung Batu, pada kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
“Kita menerima makluman menerusi talian MERS999 tentang insiden ini dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hazmizan Maksit dan PBK II Kup Saida Yulius Gerardus bergegas ke lokasi itu.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP itu, didapati terdapat sebuah bot karam melibatkan enam orang mangsa, iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak. Lima daripada mereka berjaya diselamatkan.
“Seorang pengadu memaklumkan kejadian berlaku semasa kesemua mangsa yang dalam perjalanan dari Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang telah terlanggar suatu objek seterusnya menyebabkan bot terbalik dan kesemua mereka telah terjatuh ke dalam air,” katanya.
Severinus berkata, pasukan bomba bergerak ke Pangkalan Polis Marin untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan agensi lain iaitu Polis Marin dan APMM.
Operasi SAR hari kedua hari ini dimulakan pada jam 9.28 pagi.
Mangsa, Romy Azlan, 7, telah dijumpai dalam keadaan meninggal dunia oleh pihak Maritim 600 meter dari lokasi bot karam pada jam 11.08 pagi.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 12.03 tengah hari, tambahnya.































