Supian (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Abinan, sambil diiringi Datu Adek (tengah) dan Herman (kiri).
KOTA KINABALU: Buat julung kalinya, Istana Seri Kinabalu (ISK) menjadi lokasi persinggahan pertama Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023.
Tiba pada jam 10 pagi Selasa, konvoi yang diketuai Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa disambut oleh Setiausaha Sulit Kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Datuk Abinan Asli, Pengelola Urusan ISK, Datu Adek Datu Sani dan Juruiring TYT, Kolonel Herman Bambang.
Selepas menandatangani Buku Lawatan Konvoi KMJG, Supian menyerahkan Jalur Gemilang kepada Abinan sebagai simbolik penglibatan serta sokongan padu daripada institusi tertinggi di negeri ini terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah.
Abinan kemudiannya menyempurnakan acara pelepasan konvoi 15 kenderaan daripada pelbagai pelbagai agensi dan kementerian bagi meneruskan perjalanan ke SMK Bandaraya dekat Inanam, selepas dilepaskan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Sabah di Perkarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Konvoi KMJG yang merupakan acara tahunan Jabatan Penerangan Negeri Sabah itu adalah bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan yang bermula hari ini hingga 16 September depan.