PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut di Kampung Dato Mufti Shuib, di sini, Jumaat lalu.
Suspek berusia 24 tahun bertindak sedemikian kerana ingin mendapatkan kad pengenalan yang tercicir.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek mendakwa beg tangannya diragut seorang penunggang motosikal ketika membonceng motosikal bersama teman lelakinya, pada pukul 7 malam.
“Polis membuat tangkapan terhadap wanita itu di Balai Polis Ampang pada pukul 8.50 malam, hari sama kerana membuat laporan palsu.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati negatif dadah dan suspek ditahan reman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.