Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan anugerah kepada pasukan belia Malaysia pada Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
KOTA KINABALU: Bekalan elektrik berasaskan sistem tenaga solar akan terus ditambah baik di Sabah dan Sarawak dalam usaha membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk luar bandar.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semasa pelaksanaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sebelum ini, terdapat kegagalan dalam pelaksanaannya kerana masalah penukaran bateri sistem solar yang mengambil masa terlalu lama.
Keadaan itu katanya, disebabkan sistem penukaran bateri hanya dikuasai oleh satu pembekal sahaja yang tidak sesuai dipraktikkan di Sabah dan Sarawak kerana mempunyai kawasan yang begitu luas.
“Justeru, satu sistem baharu sedia diwujudkan bagi menukar kaedah menggantikan bateri dengan bateri baharu sebagaimana bateri kenderaan elektrik (EV) dan ada teknologinya.
“Ini akan menjadi game changer dalam menyediakan bekalan elektrik luar bandar dengan mengambil kira teknologi baharu bagi pemasangan sistem solar luar bandar. Dengan teknologi baharu itu, jangka hayat bateri lebih tahan lama,” katanya selepas majlis penutupan Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain penggunaan teknologi baharu, beliau juga akan memastikan proses penyelenggaraan sistem solar diletakkan di bawah beberapa pembekal di beberapa kawasan tertentu.
Jelas beliau, penyelenggaraan tidak boleh diletakkan di bawah satu syarikat pembekal bagi sebuah negeri yang besar seperti Sabah atau Sarawak yang sudah menggunakan sistem tenaga solar selama lebih 10 tahun.
Menurut beliau, apabila sistem penukaran bateri dikendalikan oleh satu syarikat pembekal maka, ia mengambil masa yang lama hingga menyebabkan kawasan yang menggunakan tenaga solar terpaksa bergelap dalam tempoh lebih lama.