Jahid (tengah) bersama Roslani mengacau bubur Asyura yang menjadi hidangan masyarakat Islam yang hadir pada program tersebut.
TUARAN: Perpaduan menjadi elemen penting dalam mengukuhkan hubungan harmoni antara sesama Muslim, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.
Beliau berkata, masyarakat Islam perlu menghadapi perbezaan dengan bijaksana, saling menghormati dan menghargai pandangan serta kepercayaan masing-masing.
“Hayati semangat ukhuwah Islamiyah, yakni persaudaraan sejati dalam Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kenduri Aqiqah dan Bubur Asyura di Surau Anjung Sri Wangi, di Kampung Roun, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bersama Majlis Kenduri Aqiqah dan Bubur Asyura merangkap Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Rantau, Tuaran, Roslani Abdullah, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengerusi Surau Anjung Sri Wangi, Zainudin Ab Ghani, Penyelia KAFA Daerah Tuaran, Ustaz Hamsah Sulaiman, dan pemilik restoran Anjung Sri Wangi, Ayib Mardui.
Jahid berkata, masyarakat beragama Islam perlu berusaha untuk saling menyokong, menguatkan dan membantu satu sama lain dalam kesusahan dan kesenangan.
“Hidup ini adalah perjalanan bersama, dan perpaduan masyarakat Islam adalah kunci kejayaan kita,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu.
Katanya, majlis seumpama itu menjadi platform bagi mengeratkan tali silaturrahim dalam kalangan masyarakat.
Justeru, semangat persaudaraan, perpaduan, dan kasih sayang antara sesama Muslim, dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam yang membawa kepada perdamaian dan keberkatan merupakan kunci utama perhubungan yang baik dalam kalangan masyarakat.
“Tujuan sebenar majlis ini adalah untuk saling kenal mengenal, merapatkan silaturahim, serta membentuk ukhuwah dan kesatuan ummah.
“Kita melihat acara seperti ini bukan sekadar perayaan rutin, tetapi sebagai panggilan untuk bersatu hati, berganding tangan, dan bekerjasama dalam memperjuangkan kebaikan untuk semua,” kata beliau.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Rantau Tuaran, Roslani Abdullah menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut.
Antara pengisian program ialah sesi Ceramah Aqiqah dan Asyura oleh Pengerusi Alumni SM Sains Selangor, Ustaz Azmi Suhaimi.





























