Anwar Ibrahim (empat dari kiri) menyampaikan replika cek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada seorang peserta pada Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, kelmarin.
DUNGUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan menyingkirkan menteri atau pemimpin kerajaan daripada jawatan mereka sekiranya dikesan mengambil sumber kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.
Menurut Utusan Malaysia, Anwar berkata, beliau tidak membenarkan sebarang salah laku dalam Kerajaan Perpaduan kerana perbuatan tersebut merugikan negara.
“Hentikan amalan mengambil kekayaan daripada negeri atau negara, kerajaan ini tidak mengizinkan mana-mana menteri atau pemimpin kerajaan ambil walau satu inci tanah kerajaan atau satu ekar (0.4 hektar kawasan) balak.
“(Tindakan itu) dilarang sama sekali dan kalau berlaku, mereka akan disingkirkan daripada jawatan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.
Anwar menambah, terdapat ‘kumpulan’ yang didakwa memperjuangkan Islam dan Melayu tetapi tidak bertindak dalam isu pengambilan sumber kekayaan negeri atau negara.
“Saya hendak tanya (kepada) orang yang heboh bercakap soal Melayu dan Islam, beranikah sebut bahawa mereka tidak izinkan pemimpin mengambil balak, kontrak atau saham daripada negara.
“(Setakat ini) saya belum dengar lagi (ada yang berani bersuara),” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri menambah, beliau menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Perikatan Nasional (PN) mampu menawan lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan tidak akan menjadi kenyataan.
Beliau berkata, sewaktu bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, bekas Perdana Menteri itu juga optimis bakal menang besar namun hakikatnya akhirnya tewas teruk hingga hilang wang pertaruhan.
“Itu tekaan dia (Mahathir). Masa bertanding di Langkawi (sewaktu PRU15), dia kata akan menang besar, (bagaimanapun) apabila bertanding dia hilang deposit,” katanya.