Sammy Newton
PENAMPANG: Lima lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Putatan, dekat sini, pada pagi 27 Julai.
Penahanan mereka dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian semua individu yang terlibat berada di bawah pengaruh alkohol dan telah berlaku perselisihan faham sehingga mencetuskan pergaduhan.
“Salah seorang individu yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah disahkan meninggalkan dunia setelah pulang ke kediamannya.
“Mangsa yang berumur 28 tahun itu telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Laporan Mati Mengejut.
Katanya, kes masih dalam siasatan polis dan menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memuatnaik sebarang bahan yang tidak sahih di mana-mana platform aplikasi dan media sosial mengenai kejadian ini bagi mengelakkan kegusaran orang awam,” katanya.