PETALING JAYA: Siri animasi legenda yang pernah mencetuskan fenomena sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.
Filem Keluang Man versi live action ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan bakal diarahkan oleh pengarah siri High Council dan juga penulis skrip filem Polis Evo, Anwari Ashraf Hashim.
Menurut Utusan Malaysia, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, dalam usaha menghasilkan karya berkualiti, Astro Shaw mengambil langkah untuk meneroka inisiatif ini dengan membuka peluang kepada selebriti tanah air serta masyarakat untuk mempamerkan bakat terpendam.
“Watak ikonik ini amat dekat dengan penonton. Kami berharap pencarian ini dapat menampilkan bakat yang menepati kriteria watak adiwira itu.
“Pencarian bakat ini terbuka buat semua warganegara Malaysia, lelaki, berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun, fasih berbahasa Melayu, berperwatakan menarik dan berpersonaliti unik serta mempunyai fizikal yang tegap.
“Mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri adalah satu kelebihan,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.
Sedang memulakan fasa pra-produksi, kini filem Keluang Man sedang mencari bakat yang bersesuaian untuk watak utama. Sesi uji bakat fasa pertama dibuka bermula hari ini sehingga 13 Ogos depan.
Bagi yang berminat, layari platform media sosial Instagram Astro Shaw atau Astro Gempak bagi mendapatkan imbasan kod QR untuk menghantar video tentang diri dan personaliti anda.
Imbas kod QR, muat naik video berdurasi maksimum tiga minit tentang personaliti anda berserta gambar, dan tekan butang hantar. Video hendaklah dalam format MP4 sahaja (saiz fail tidak melebihi 300mb).
Calon yang terpilih dalam senarai pendek akan mendapat notifikasi dari pihak produksi. Mereka akan diberikan penerangan tentang ciri-ciri karakter untuk proses uji bakat fasa kedua secara fizikal di Kuala Lumpur/Selangor.
Seramnai 10 individu yang memiliki bakat terbaik akan dipilih untuk saringan fasa ketiga sebelum pihak produksi mendedahkan siapa yang berjaya membawa watak Keluang Man.