Azam Baki
PETALING JAYA: Trend pembabitan pegawai awam gred 54 ke atas dalam gejala rasuah amat membimbangkan berbanding 10 tahun lalu.
Ia sekali gus memperlihat satu penanda aras tidak sihat membabitkan kes berprofil tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pembabitan pegawai kerajaan gred 54 ke atas menunjukkan peningkatan sejak 2018 seolah-olah menjadi perkara biasa.
“Sekarang ini ia jadi seperti satu kebiasaan pula dan ini agak menakutkan apabila penerima rasuah itu membabitkan pegawai awam gred 54 ke atas.
“Selain itu, kes profil tinggi ini turut membabitkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official kelmarin.
Azam berkata, menyiasat kes berprofil tinggi agak sulit dan kompleks berbanding kes lain kerana untuk membuktikan unsur rasuah itu perlu teliti.
“Sebagai contoh pegawai kerajaan Jusa C yang mengambil rasuah RM200,000, SPRM perlu menyiasat kerana bukan dia seorang saja menerimanya, kerana ada banyak lapisan dan tugas kita hendak mengesahkan wang itu sampai kepadanya.
“Kita kena siasat satu-satu, tambahan jika menggunakan proksi kerana kadang-kadang proksi itu tidak wujud malah apabila dapat wang itu mereka lakukan pengubahan wang haram.
“Namun kita tetap akan cari balik wang yang dicuci itu sehingga mereka bankrap semula,” jelasnya.