KULIM: Seorang juruteknik maut selepas disengat tebuan ketika melakukan tugas di sebuah pencawang telekomunikasi di Felda Gunung Bongsu, Karangan, di sini Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kulim kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Katanya, mangsa disengat tebuan semasa membuat kerja baik pulih kerosakan pencawang komunikasi setinggi 30 meter bersama rakan setugasnya.
“Mangsa kemudian telah di bawa ke Klinik Kesihatan Karangan untuk menerima rawatan awal. Bagaimanapun setelah keadaan mangsa semakin lemah, dia dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurut Mohd. Redzuan, bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan evere anaphylactic shock secondary to hornet sting atau akibat sengatan lebah.
“Tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, jenazah mangsa akan dikebumikan di Alor Setar,” ujarnya.