Pasukan bomba memeriksa keadaan mangsa yang ditindih oleh jentolak itu. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut selepas ditindih oleh jentolak dikendalikannya yang terjunam ke dalam gaung di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Mohd. Hasbi Hajat berkata, kejadian itu berlaku di Ladang Kelapa Sawit Felcra Kampung Rosob Pitas pada jam 2 petang tadi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK I KUP Gabuh Maradan dikejarkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 40 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan jentera berat jatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan ladang.
“Terdapat seorang mangsa tersepit tetapi berjaya dikeluarakan oleh pasukan bomba dengan bantuan sebuah jengkaut (excavator),” katanya.
Menurut Hasbi, mangsa, Kok Vui Siong, 64, disahkan meninggal dunia oleh pihak polis yang turut berada di lokasi.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 4.24 petang.