Pasukan bomba membawa mangsa keluar dari kebun untuk dibawa ke hospital. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pekebun cedera selepas dihempap pokok tumbang semasa membersihkan kebun di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Jalan Jabatan Air Ranau kira-kira jam 2 petang.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai pada jam 2.22 petang dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Saifudin Jalani bersama sebuah lori bomba dan sebuah kenderaan EMRS bergegas ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi yang terletak 3 kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati sebatang pokok tumbang menimpa seorang pekebun lelaki tempatan berusia 51 tahun yang sedang membersihkan kebun.
“Mangsa mengalami kecederaan di pinggang akibat dihempap pokok. Anggota bomba mengalihkan pokok tumbang dan mengalihkan mangsa menggunakan pengusung.
“Anggota penyelamat turut menstabilkan mangsa menggunakan Pelvic Immobiliser,” katanya.
Ridwan berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota Jabatan Kesihatan dan dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan pada jam 3.18 petang,” katanya.































