Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Ferdinand Marcos Jr. di Perdana Putra, Putrajaya. – Gambar Ihsan Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA: Malaysia dan FIlipina bakal menerokai peluang ekonomi dalam industri halal sebagai usaha memperkukuhkan hubungan dagangan dua negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara dibincangkan bersama dalam rangka lawatan rasmi sulung Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. ke negara ini dalam mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, pelbagai isu bilateral menjadi topik perbincangan terutama melibatkan isu perdangangan dan pelaburan yang mempunyai potensi besar untuk ditingkatkan melalui kerjasama antara komuniti perniagaan Malaysia dan FIlipina.
“Negara mengambil pengalaman bagaimana tindakan FIlipina meningkatkan sektor ekonomi pasca Covid-19 di bawah kepimpinan Presiden, dan ini akan mengukuhkan kolobrasi hubungan dagangan dua negara.
“Kedua-dua pihak berbincang tentang potensi industri halal berkaitan isu pensijilan halal, jadi kita perlu mengambil tindakan bersama untuk memastikan supaya industri ini boleh menembusi pasaran ke Asia Barat,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, Marcos Jr. diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan menghadap seri paduka baginda disusuli satu majlis santapan negara bagi meraikan beliau dan delegasi.
Anwar berkata, dalam peringkat kerjasama antarabangsa dan serantau, kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai isu berkepentingan bersama.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dengan mengulangi pendirian Malaysia kekal teguh menyokong Konsensus Lima Perkara ASEAN, namun memberi ruang kepada negara-negara jiran untuk menangani isu tersebut dengan cara masing-masing tanpa mengorbankan hak kemanusiaan termasuk etnik minoriti rohingya.
Beliau dan Marcos Jr. mengambil kesempatan membincangkan penganjuran Malaysia dan Filipina yang akan menjadi tuan rumah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8, pada akhir tahun ini selain berusaha menterjemahkan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui bersama dengan memudahkan proses dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.
Sementara itu, Marcos Jr. dalam sidang akhbar bersama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas jemputan bagi mengadakan lawatan negara sehingga esok.
“Dalam pertemuan bersama Al Sultan Abdullah pagi tadi, kami berbincang mengenai hubungan diplomatik yang lama terjalin selain keutuhan ekonomi antara Malaysia dan Filipina.
“Perbincangan itu juga melibatkan aspek kebersamaan yang dimiliki rakyat Malaysia dan Filipina hingga menjadikan hubungan persaudaraan menjadi lebih erat,” katanya.
Pada masa sama, Marcus Jr. turut mengimbau kejayaan lawatan Anwar ke Manila baru-baru ini selain menyifatkan kedua-dua mereka turut bersetuju menyertai satu mesyuarat bersama yang dijangka pada Oktober depan.
“Kami mengadakan perkara itu bagi menunjukkan ada perkara boleh dibincangkan khususnya meliputi perkara seperti jenayah antarabangsa, pertanian, industri halal, perbankan Islam, pendidikan, pelancongan, sukan dan ekonomi digital.
“Pada masa sama, Malaysia juga turut menawarkan kepakaran untuk membantu Filipina dalam meningkatkan keupayaan khususnya dalam sektor-sektor penting,” katanya.