Tupac Shakur ditembak mati sekumpulan individu menaiki kereta jenis Cadillac putih 27 tahun lalu.
Seorang lelaki tampil mendakwa dirinya sebagai salah seorang saksi kepada insiden pembunuhan rapper terkenal, Tupac Shakur yang ditembak mati, 27 tahun yang lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Abc News melaporkan, individu yang dikenali sebagai Duane Keith Davis itu mengaku dirinya antara yang menyaksikan kejadian tembakan itu secara depan mata.
Susulan pengakuan itu, polis Las Vegas mengeluarkan waran untuk menggeledah kediaman Duane berlokasi di Henderson, Nevada bagi menyiasat lelaki berusia 60 tahun itu.
Menurut polis, operasi tersebut adalah sebahagian daripada kerja siasatan yang masih berjalan sehingga hari ini.
Artikel beberapa majalah, termasuk majalah Vibe antara yang dirampas pihak berkuasa. Turut diambil adalah komputer, telefon bimbit, pemacu keras (hard drive), dan beberapa keping gambar.
Kesemuanya telah diserahkan kepada jemaah juri. Polis bagaimanapun tidak mengesahkan sebarang kaitan hasil rampasan tersebut dengan insiden pembunuhan itu.
Polis percaya pembunuh terbabit telah meninggal dunia. Namun, siasatan terkini berkemungkinan dapat mendedahkan identiti individu yang bersama pembunuh ketika melakukan tembakan tersebut.
Lebih dua dekad lalu, Tupac, yang menghadiri sebuah perlawanan tinju ketika kejadian, terkena tembakan yang dilepaskan sekumpulan individu tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Cadillac putih.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hit Em Up itu meninggal dunia selepas enam hari terlantar di hospital. Tiada tangkapan dibuat sehingga kini.
Beberapa bulan selepas insiden berkenaan, penyanyi rap, Christopher Wallace atau Notorious B.I.G pula ditembak mati di Los Angeles. Kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Tupac.
Kes siasatan pembunuhan Tupac menemui petunjuk baharu selepas dokumentari Unsolved: The Tupac and Biggie Murders ditayangkan di Netflix pada 2018, selain buku Compton Street Legend dicetak pada 2019.